Kuliah URA (Universiti Ramadhan Al-Mubarak) siri 5 

TIBA bulan puasa ni, ramai yang bertanya berkenaan dengan qadha' dan fidyah. Aku sediakanlah serba sedikit berkenaan hal-hal demikian. Aku rujuk Fiqh Manhaji (Fiqh Mazhab Syafei) jer.

1. Musafir dan Sakit
  • Meninggalkan puasa kerana dua sebab ini wajib qadha' sebelum datang Ramadhan akan datang.
  • Kalau dia lengah-lengah (malas) sehingga masuk Ramadhan berikutnya dia BERDOSA wajib qadha' dan fidyah.
  • Kalau sakit bertahun-tahun dia hanya perlu qadha' tak perlu fidyah.
  • Sekiranya dia mati dan tak sempat qadha', jadi dia tak berdosa dan tak perlu minta orang lain qadha'kan kerana dia tidak melalaikannya (qadha' puasanya).
  • Sekiranya dia mati dalam keadaan dia mampu qadha' sebelum tu, maka wali dia DISUNATKAN qadha'kan har-hari yang ditinggal oleh si mati.
Dari Aisyah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda
"Barangsiapa yang mati dan dia masih ada puasa yang tidak diqadha', maka walinyalah yang berpuasa bagi pihaknya" - (Riwayat Bukhari dan Muslim)
  • Sekiranya tiada seorang pun nak ganti puasa dia, wajib keluarkan satu cupak makanan dari harta pusaka dia. Kalau harta pun tiada, orang lain boleh keluarkan bagi pihaknya dan terlepaslah dosanya.
Abu Dawud telah meriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a katanya:
"Apabila seseorang itu sakit pada bulan Ramadhan, kemudian dia meninggal dunia dan dia tidak berpuasa, hendaklah diberi makan bagi pihaknya"

2. Orang yang terlalu tua dan pesakit yang tiada harapan untuk sembuh
  • Wajib bersedekah satu cupak makanan asasi bagi setiap hari yang ditinggalkan
Firman Allah bermaksud:
"Dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah (dengan) memberi makan orang-orang miskin".
- Al Baqarah, ayat 184
  • Orang sakit tiada harapan sembuh dan orang tua yang tak mampu puasa hukumnya sama.
3. Perempuan hamil (kalau ada jantan kata dia hamil, ketuk kepala dia!) dan menyusukan anak.
  • Wujud mudharat kalau berpuasa, samada pada diri sendiri atau kandungan atau anak yang disusukan maka boleh berbuka dan qadha' sebelum datang Ramadhan akan datang dan secupak makanan asasi bagi setiap hari yang ditinggalkan.
Dari Anas bin Al Ka'bi r.a, daripada Rasulullah s.a.w sabdanya yang bermaksud:
"Sesungguhnya Allah s.w.t telah mengangkat puasa orang yang musafir (boleh berbuka) dan telah mengurangkan solatnya (boleh diqasarkan solatnya) dan diangkat puasa daripada perempuan yang hamil dan sedang menyusukan anak".
- (Riwayat Titmizi dan Abu Dawud)
Fidyah: Memberi makan kepada orang-orang fakir dengan secupak makanan asasi. Perkara ini bertambah dengan bertambahnya tahun. Secupak = 600 gram.

Wali: Kaum kerabat